Keistimewaan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Masjid ini mempunyai kubah yang terbesar di dunia. Empat menara tinggi dibina di keliling kubah. Pembinaan masjid menggunakan teknologi terbaru. Kubah luar berdiri 300 kaki dari paras bumi dan garis pusat 170 kaki menjadi kubah agama yang terbesar pernah dibina sehingga kini. Bahagian luar kubah diperbuat daripada kepingan aluminium berlipat dan mempunyai panel yang menarik berwarna biru, tidak akan karat dan tahan beratus tahun.

Bahan aluminium berukuran 35 kaki tinggi disaluti dengan emas. Kubah dalam dan luar terletak di atas alang bulat setinggi 24 kaki dan 14 kaki lebar. Di bahagian luar mempunyai panel enamel yang dihiasi Khat al Quran berwarna biru dan berlatar belakang panel kelabu.

Tulisan khat adalah hasil kerja penulis khat Mesir, Sheikh Abdel Moneim Mohamed Ali El Sharkawi. Usaha membuat khat ini dilakukan oleh Emaillierwerk dari Hannover, Jerman Barat.

Bagaimanapun selepas 26 tahun, wujud kecacatan yang ketara pada kubah masjid hingga mencemarkan pandangan mata. Kecacatan itu mungkin berpunca dari kerja-kerja penyelenggaraan yang dijalankan sebelum ini yang menggunakan cecair kimia khas untuk membersihkan kulat dan kulapok yang akhirnya lama kelamaan mengakibatkan panel-panel kubah masjid mula kelihatan kusam dan berkarat.

JKR Selangor telah mengeluarkan tender bagi mengganti kesemua panel lama yang berkeluasan 5,184.72 meter persegi itu dengan panel kemasan kubah baharu dari jenis Vitrous Enamel yang ditempah khas dari Jerman dengan kos projek yang agak kontroversial berjumlah RM32.4 juta. 

Pemilihan panel dari bahan yang lebih berkualiti tersebut dibuat kerana kemasan baharu ini tahan lasak, sama dengan panel sedia ada dan mempunyai jaminan selama 30 tahun dari pengeluarnya. Bahan tersebut juga ringan selain struktur lama tidak perlu diganti.

Dari keseluruhan jumlah kos tender ini turut termasuk didalamnya ialah kerja-kerja pemasangan paip-paip khas pada kubah yang menyediakan punca air bagi memudahkan kubah dicuci dimasa depan serta pemasanagan tangga untuk akses cepat naik ke kubah. Punca air di kubah akan memudahkan kerja penyelenggaraan dan akan menjimatkan kos serta mengelakkan kontraktor dari menggunakan cecair kimia atas alasan sukar untuk mendapatkan bekalan air dari bawah menggunakan paip getah yang terlalu banyak dan sangat panjang hingga berselirat ekoran keluasan dan ketinggian kubah.